Selasa, 27 Mei 2014

Hari Penderma Darah Sedunia

mengapa DERMA DARAH DAN FAEDAH MENDERMA DARAH



Mengapa saya menderma darah?...

Selama menderma darah secara aktif sejak 2 tahun lalu, saya tak pernah terfikir untuk berkongsi pengalaman tersebut kepada keluarga dan rakan-rakan. Pada masa yang sama, saya langsung tak mengkaji tentang kepentingan menderma darah, walaupun banyak kempen menderma darah diberikan di media. Saya hanya tahu menderma sahaja.Hari ini...28/5/2014..tiba-tiba sahaja rasa ingin mencoret sesuatu di blog ini sebagai motivasi pagi. Harap anda semua sudi membacanya :-).

Saya merupakan penderma darah utuh (whole blood) jenis AB+....ada sesiapa dari golongan darah jenis yang sama?. Apa yang menggerakkan hati saya sebelum memulakan langkah pertama menderma darah ialah kata-kata hati bahawa "Aku tak mahu darah aku membazir tumpah di jalan raya sekiranya aku ditimpa kemalangan". 

Selain dari jenis AB+, darah utuh jenis AB-, A+, A-, B+, B-, O + dan O juga sangat diperlukan untuk pembedahan, mangsa kemalangan atau untuk merawat pesakit leukemia, barah, penyakit jantung, penyakit hati dan hemophilia.

Dari pembacaan saya di blog anizyn.blogspot (thanks! anizyn), seorang penderma boleh menyelamatkan sehingga tiga nyawa. Menyedari kepentingan derma darah menghargai sumbangan penderma, tarikh 14 Jun pula dipilih sebagai Hari Penderma Darah Sedunia yang bertujuan mencetuskan gelombang' atau gerakan derma darah dalam kalangan masyarakat. 


Saya berharap sambutan tahun ini dapat menarik ramai lagi yang sudi menderma darah secara sukarela.

Jom! Kita lihat manfaat atau nikmat kesihatan yang diperoleh penderma apabila menderma darah?. (ini yang membuatkan saya semakin bersemangat untuk 'memanjat Tabung Darah')

1) Antara manfaat utama adalah melindungi jantung dengan mengurangkan tekanan oksidatif. Kajian Persatuan Perubatan Amerika Syarikat menunjukkan, derma darah dapat mengurangkan lebihan atau sisa zat besi dalam darah yang menyebabkan kerosakan sel dan tisu. Malah, peningkatan oksidatif itu amat membahayakan sistem kardiovaskular. Pengurangan ancaman sakit jantung akibat kerap menderma darah, boleh dilihat terutama bagi penderma yang tidak merokok.

2) Bagi wanita menopaus, paras zat besi meningkat kerana tiada haid dan bagi menyingkirkannya serta risiko sakit jantung boleh dielak dengan menderma darah.

3) Apa yang menarik, kajian itu turut mendedahkan, rutin menderma darah setiap enam bulan boleh mengurangkan serangan jantung dan strok kepada peserta kajian itu yang berusia antara 43 hingga 61 tahun.

4) Menangani ancaman kanser Menderma darah membantu mengurangkan risiko kanser. Pusat Miller-Keystone Darah, mendapati pendermaan darah yang konsisten, dikaitkan dengan risiko rendah untuk mendapat kanser, termasuk hati, paruparu, kolon, perut, dan tekak. Tahap risiko semakin menurun dengan kekerapan pendermaan darah dilakukan penderma. Kaitan antara risiko kanser yang lebih rendah dan menderma darah juga mungkin berpunca daripada pengurangan tekanan oksidatif. Perlu diketahui, sebatian radikal bebas boleh merosakkan DNA dan kerosakan bahan genetik menjadi punca kepada ancaman semua jenis kanser.

5) Meningkatkan pengeluaran sel darah merah baru Apabila darah `dikeluar' dari badan penderma, sel tertentu dalam darah akan menurun. Sebagai menampung kekurangan darah tadi, sel baru akan dihasilkan oleh tulang sum sum. Rangsangan itu menyebabkan darah baru yang dihasilkan, lebih segar.

6) Membantu melawan hemochromitosis Hemochromitosis sejenis gangguan genetik, dikenali juga sebagai gangguan zat besi sarat, yang mana besi terkumpul dalam tisu badan lantaran metabolisme besi tidak sempurna. Keadaan ini boleh membawa kepada kerosakan organ.

7) Membakar kalori. Individu boleh melakukan `diet' atau kekal sihat dengan kerap menderma darah. Satu pain darah, iaitu kira-kira 450 milimeter, apabila didermakan membakar sebanyak 650 kalori dalam badan penderma.

8) Selain semua faedah penderma, ujian darah dilakukan sebelum menderma darah membantu orang ramai mengenal pasti mengalami penyakit seperti Hepatitis B, Hepatitis C, HIV, sifilis dan malaria. Penderma segera dimaklumkan jika mana-mana ujian ini didapati positif.

MULAKAN LANGKAH PERTAMA ANDA DEMI MENYELAMATKAN NYAWA YANG MEMERLUKAN

* Sebanyak 450 ml darah diambil, iaitu kurang dari 1 pain (586 ml). Orang dewasa biasanya mempunyai lebih kurang 5 liter (10-12 pain) darah di dalam badan.

* Proses menderma darah ini akan mengambil masa 7-10 minit, tetapi anda dinasihatkan supaya berada di tempat menderma selama lebih kurang satu jam.

* Mereka yang layak menderma darah berusia 17 tahun ke atas (pengesahan umur diperlukan) dan mempunyai berat badan melebihi 45 kilogram. Pada amnya, pengambilan ubat tidak menjadi halangan untuk menderma darah kerana penerimaan dan penolakan berdasarkan laporan perubatan. Sekiranya anda mengambil sebarang ubat, sila maklumkan sebelum menderma darah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan